Friday, July 27, 2012

Bengkel Mendorong Pelajar Corot

Bengkel ini telah berjaya diadakan pada 15 Julai 2012, bertempat di Sekolah Rendah Islam Annuriah, Sungai Udang, Melaka.  Saya amat teruja dengan minat guru-guru dan juga ibu bapa yang hadir.  Mereka telah menunjukkan kesungguhan mempelajari dan berlatih mengaplikasi teknik-teknik Nabi Muhammad.  Pada bengkel separuh hari ini, guru-guru dan juga ibu bapa telah berjaya mengaplikasi teknik memuji gaya Nabi Muhammad, teknik menegur dengan menerangkan, teknik memberi ganjaran, teknik membina skrip kejayaan, teknik mendorong pelajar mengangkat tangan.  Terima kasih kepada Puan Norashikin Basiron yang telah berusaha bagi menjayakan bengkel ini dengan bantuan Puan Kamaliah. 
Peserta sedang khusyuk mendengar penerangan

Masa membina ayat-ayat power

Memadam skill lama

Belajar skill baru

Asyiknya Mudir ini mencipta ayat-ayat memuji

Ustaz yang aktif membuat latihan

Tekunnya!

Peserta paling kecil


Monday, July 16, 2012

Impak Mendorong Teknik Nabi Muhammad

Kajian yang dibuat di kebanyakan negara termasuk Malaysia mendapati bahawa ada kaitan langsung antara pelajar corot dan pencapaian akademik dan juga tingkah laku negatif.  Pelajar corot bermaksud pelajar yang pencapaian mereka lebih rendah dari kebolehan mereka.  Ini bermakna pelajar corot belum lagi mencapai tahap potensi mereka yang optimum.  Banyak faktor yang mempengaruhi pencapaian rendah pelajar corot dan diantaranya adalah motivasi yang rendah, percaya diri yang rendah, memandang rendah harga diri mereka sendiri, tidak fokus dalam proses P&P dan sebagainya.  Ada juga faktor kongenital yang tidak boleh diubati seperti kecacatan.

Apabila masalah pelajar corot tidak ditangani dengan berkesan keciciran akan berlaku dan bersama-sama masalah keciciran adalah masalah sosial yang lain seperti delinquency yang menimbulkan masalah kepada kesejahteraan sosial.  Banyak teknik yang telah digunakan di Barat dan juga di Malaysia untuk mengatasi masalah pelajar corot.  Salah satu cara yang telah ditemui oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi dibawah bimbingan Puan Ainon Mohd adalah mendorong pelajar corot menggunakan teknik yang digali dari hadith Nabi.  Hadith Nabi adalah sumber utama selepas al-Qur'an dan cara Nabi Muhammad telah terbukti mampu mengubah orang Arab jahiliah yang buruk akhlak menjadi penganut Islam yang mempunyai sebaik-baik akhlak.  Jadi, kami telah berusaha mengkaji cara Nabi mendorong sahabatnya mengubah tingkah laku.

Strategi motivasi Nabi Muhammad telah diaplikasi oleh Puan Khairulaniza ketika mengajar subjek Bahasa Malaysia dalam kelas corot.  Impak pertama yang saya dapat perhatikan ketika membuat pemerhatian sessi P&P kelas Puan Khairulaniza adalah 'task interest' yang ditunjukkan oleh pelajar.  Puan Khairulaniza menggunakan teknik memuji Nabi Muhammad ketika sessi P&P.  Pelajar bersungguh-sungguh menyiapkan kerja yang telah diberikan oleh guru dalam kumpulan.  Sepanjang sessi P&P, pelajar begitu tekun dan bertanya guru apabila mereka tidak memahami arahan yang telah diberikan.  Apabila kerja mereka siap, pelajar tersebut memanggil guru untuk memastikan jawapan mereka betul.  'Task interest' yang tinggi atau 'engagement in task' adalah indikasi bahawa pelajar mempunyai motivasi untuk belajar dan menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.  Di sini kita boleh membuat rumusan bahawa teknik pujian yang digunakan oleh guru telah berjaya mendorong pelajar kelas corot ini untuk fokus dalam menyiapkan tugasan atau dengan kata lain, teknik ini berjaya meningkatkan 'task interest' pelajar. 

Belajar memuji menggunakan teknik Nabi Muhammad di http://khairulaniza.blogspot.com/
dan di http://ustazahsitikhadijah.blogspot.com/

Pelajar gembira dapat menyiapkan tugasan

Mereka tekun membuat latihan

Pelajar yang sudah tidak malu untuk bertanya

Guru menjawab pertanyaan pelajar

Kelas yang ceria apabila mendapat pujian dari guru mereka

Bengkel Mendorong Anak

Alhamdulillah, Bengkel Mendorong Anak Gaya Nabi Muhammad di Sekyen 7, Bandar Baru Bangi pada 14 Julai 2012 selesai diadakan dengan jayanya.  Saya sangat kagum dengan semangat dan minat peserta untuk belajar dan mengaplikasikan teknik-teknik mendidik anak gaya Nabi Muhammad.  Saya juga teruja dengan kehadiran peserta nun jauh dari seberang Tambak Johor.  Saya doakan mereka dapat apa yang mereka inginkan dan dapat pula mengaplikasikan dan menghebahkan teknik Nabi ini kepada warga Singapura.  Bertuah juga dapat kenal dengan lebih rapat lagi seorang peserta paling muda; seorang pemuda yang masih belajar dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di UiTM, Shah Alam.  Saya doakan Allah permudahkan segala urusan kita beramal menggunakan teknik Nabi dalam segenap aspek kehidupan.

Bahan Bengkel disediakan oleh Puan Rihan Hashim

Peserta Bengkel

Peserta sedang khusyuk menjawab soalan latihan

Sunday, July 15, 2012

Fitrah Manusia

Perjalanan hidup manusia adalah untuk kembali kepada kampung halamannya, di negeri abadi, iaitu syurga.  Matlamat hidup seorang Muslim adalah menjadi seorang yang suci bersih supaya dirinya layak mendiami syurga yang suci bersih.  Suci bersih itu adalah fitrah manusia.  Jadi memahami fitrah manusia menjadi syarat utama bagi para pendidik supaya dapat membangunkan insan yang berjaya di akhirat kelak.  Jika kita tidak memahami fitrah manusia, maka bagaimanakah kita akan memgubati atau mengembalikannya kepada fitrah apabila manusia itu tergelincir dari landasan fitrah.

Wahyu pertama yang diturunkan melalui Nabi Muhammad memberitahu kita bahawa manusia itu adalah ciptaan Allah, bukannya kejadian yang dibentuk oleh proses evolusi.  "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.  Mencipta manusia dari segumpal darah.  Bacalah dan sesungguhnya Tuhanmu Amat Pemurah dan mengajarkan dengan perantaraan pen.  Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Tidak, Dan sesungguhnya manusia itu ingkar.  Iaitu mereka yang mereka itu boleh bergantung hanya pada diri mereka sendiri (self-sufficent)."

Dari ayat-ayat al-Qur'an dalam surah al-'Alaq ini, kita dapat menyimpulkan bahawa manusia itu:
  • hamba kepada penciptaNya dan 
  • manusia itu tidak mengetahui 
  • manusia memerlukan kepada Allah sebagai Pengajar
  • manusia itu ingkar
  • manusia fikir bahawa mereka boleh hidup sejahtera tanpa memerlukan Allah
Ayat-ayat ini membuatkan kita berfikir, apakah sebenarnya yang kita tidak tahu?  Orang-orang yang tidak pernah membaca al-Qur'an nampak seperti tahu mengenai fitrah manusia.  Dari pengamatan pancaindera, kita mengetahui bahawa manusia mempunyai dimensi fizikal, dan orang yang tidak membaca al-Qur'an pun boleh membuat konklusi bahawa manusia mempunyai dimensi fizikal.  Manusia juga boleh menbuat rumusan bahawa mereka juga mempunyai dimensi metafizikal, iaitu minda.  Mereka membuat rumusan ini apabila mereka dapat membuat kesimpulan dari gabungan maklumat-maklumat yang ada dalam minda mereka.  Sebagai contoh, manusia boleh merumuskan bahawa nilai 5 itu lebih besar dari nilai 2.

Disebabkan keterujaan dan ketakjuban dengan kemampuan manusia membina tamadun dan teknologi yang hebat-hebat, para penganut modernisme berkata bahawa "human mind is the measure of things" iaitu mereka mengatakan minda manusia itu sendiri sudah cukup untuk memberi kesejahteraan dan keharmonian kepada manusia.  Mereka berpendapat bahawa 'as mankind progresses in time, mind becomes more mature with time.  Therefore, modern man is more matured than ancient man'.  Setelah minda manusia matang, mereka tidak perlukan pergantungan kepada 'supernatural Being' untuk memahami fenomena alam dan pengalaman manusia.  Mereka juga percaya bahawa manusia sekarang lebih baik dari manusia terdahulu termasuk nabi-nabi.  Sebab itu mereka memutuskan sejarah dalam kepercayaan dan hidup mereka.  Mereka berpegang kepada kepercayaan bahawa manusia itu 'self-sifficient' seperti yang Allah sebutkan dalam surah al-'Alaq.

Namun begitu, dari pengamatan dan kajian, ramai juga cendikiawan bukan Muslim merumuskan manusia itu mempunyai satu lagi dimensi, iaitu dimensi metafizikal yang dinamakan ruh.  Dari sudut psikologi, mereka yang mempercayai bahawa manusia itu mempunyai dimensi fizikal dan mental sahaja akan merawat ketidakseimbangan fitrah dengan merawat dimensi mental sahaja dan jika ketidakseimbangan itu datangnya dari masalah fizikal, mereka akan merawat fizikal dan mental.  Jika ini sahaja dimensi yang ada pada manusia, minda sudah cukup untuk memberi jawapan kepeda persoalan hidup manusia.  Bagi yang mempercayai bahawa manusia itu adalah gabungan fizikal, minda dan ruh, maka merawat ketidakseimbangan fitrah perlu kepada merawat semua dimensi manusia.

Tetapi Allah menegaskan bahawa manusia itu makhluk yang tidak tahu.  Apakah yang kita tidak tahu?  Manusia hanya boleh mengetahui sesuatu melalui pengamatan pancaindera sahaja.  Sesuatu yang tidak memberi kesan kepada pancaindera tidak akan dapat diketahui. Tiada manusia dapat mengatakan dengan penuh keyakinan kewujudan alam ghaib.  Tiada manusia dapat membuktikan bagaimana sifat ruh dan apa keperluan ruh manusia supaya ruh ini dapat dibentuk menjadi fitrah.  Maka Allah mengajar alam ghaib dan juga makanan kepada ruh sebagai 'essence of man' dan kaitan ruh dengan alam fizikal.  Al-Balkhi dan Imam Ghazali menyebut bahawa banyak penyakit fizikal manusia bermula dari penyakit ruh; jika dirawat ruh supaya kembali kepada fitrah, maka banyak penyakit fizikal dapat diubati. 

Pengalaman Nabi Muhammad mengalami kecelaruan minda sehingga membuatkan beliau bersendirian di Gua Hira' adalah bukti bahawa orang yang baik dan sempurna akhlak dan memiliki harta yang banyak hasil dari perkahwinan dengan Khadijah seperti dilapurkan dalam buku sejarah, hadith dan al-Qur'an masih tidak mencapai ketenangan jiwa dan kebahagiaan.  Kecelaruan minda ini terubat apabila ruh mendapat suntikan keimanan kepada Allah.  Selepas itu, walaupun Nabi Muhammad menghadapi kesempitan hidup dan berbagai penderitaan fizikal, namun ruh yang bahagia di samping PenciptaNya membuatkan Nabi Muhammad mempunyai tahap 'resilience' yang tinggi sehingga memberikan beliau ketenangan dan kebahagiaan hakiki.

Psikologi Islam memfokuskan kepada kesejahteraan ruh.  Cara untuk mendapat kesejahteraan ruh boleh dikaji dari keseluruhan aspek kehidupan Rasulullah.

Friday, July 13, 2012

Psikologi Pendidikan Islam

Psikologi adalah satu kajian mengenai tingkah laku manusia dalam semua aspek kehidupan.  Psikologi cuba memahami punca dan sebab seseorang itu berlakuan sepertimana yang diperhatikan (why people behave the way they do).  Jadi kajian psikologi termasuk kajian mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi kelakuan manusia, pembentukan personaliti dan karakter moral manusia yang berkait rapat dengan kelakuan dan mempengaruhi kelakuan manusia, pembentukan dan pengaruh pemikiran dan pandangan sejagat yang menjadi asas kepada kelakuan dan apa saja faktor yang berhubung rapat dan mempengaruhi perangai dan kelakuan manusia. 

Psikologi pendidikan pula menggunakan dapatan dari kajian psikologi, kajian psikologi sosial dan psikologi kanak-kanak bagi membantu memahami pembelajaran dan proses pembelajaran.  Secara spesifiknya psikologi pendidikan kajian sistematik mengenai pelajar, pembelajaran dan pengajaran.  Topik-topik dibawah psikologi pendidikan adalah motivasi, stail pembelajaran, pembentukan dan pembangunan personaliti, stail berfikir, dan apa saja topik berkenaan pelajar, proses pembelajaran dan pengajaran.

Apakah yang dikatakan psikologi pendidikan Islam?  Sesuatu ilmu itu dikatakan ilmu Islam apabila ia bersumberkan al-Qur'an dan hadith sebagai sumber utama dan apabila ilmu itu adalah hasil dari pandangan sejagat Islam (Acikgenj, 1996).  Psikologi pendidikan itu dikatakan Islamik apabila ia bersumberkan al-Qur'an dan hadith sebagai asas kefahaman mengenai manusia dan segala faktor yang mempengaruhi pemikiran dan kelakuan manusia; dan ilmu itu menggunakan hadith sebagai sumber kepada prinsip, prosedur, strategi dan teknik-teknik yang digunakan untuk membantu proses pembelajaran, pembentukan tingkah laku dan perubahan tingkah laku.


Pengenalan

Assalamualaikum wa rahmat Allahi wa barakatuhu.

Objektif saya membuka blog ini adalah untuk berkongsi ilmu psikologi pendidikan Islam dan kegiatan saya dalam melatih guru-guru, ibu bapa dan juga orang perseorangan yang berminat untuk mengaplikasi teori, prinsip, prosedur, dan teknik dalam psikologi pendidikan Islam yang kami bangunkan hasil dari penyelidikan Tim Hadith Psikologi yang diketuai oleh Puan Ainon Mohd., saya sendiri sebagai timbalan ketua dan 6 orang penyelidik yang dedikasi dan bersemangat untuk menyebarluaskan sunnah dalam segenap kehidupan.

Entri dalam blog ini bersulam antara teori dengan praksis dimana dapatan dari analisis hadith dan aplikasinya dibincangkan dalam rangka dan asas teori yang bersumberkan al-Qu'an dan hadith.  Perbandingan dengan penemuan dan teori barat juga akan dimuatkan dalam blog ini.